Thursday 9 April 2009

Sirah Nabawiyah 006

Beberapa kenyataan penting secara ringkas tentang kehidupan baginda sallallah ‘alaihi wasallam dalam fasa ini telah dicatatkan oleh pengarang kitab Sirah Nabawiyah Durus wa ‘Ibar adalah seperti berikut:

1. Baginda sallallah ‘alaihi wasallam dilahirkan dari keturunan nasab yang paling mulia, sepertimana yang dikuatkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi dengan sanad yang sahih dengan mafhumnya seperti berikut:

“Sesungguhnya Allah telah mencipta segala kejadian, lalu dijadikan aku daripada yang sebaik-baiknya dan daripada golongan yang terbaik pula. Kemudian Allah memilih suku bangsa, lalu dijadikan aku dari sebaik-baik suku bangsa. Kemudian Allah memilih keluarga, lalu dijadikan aku daripada sebaik-baik keluarga. Maka jadilah aku sebaik-baik diri daripada kalangan mereka” ( Riwayat al-Tirmizi)

Oleh kerana kedudukan dan nasab baginda yang mulia tersebut maka kita tidak menemui sebarang celaan dari musyrikin terhadap keturunan baginda kerana hal ini telah jelas pada mereka.

2. Baginda sallallah ‘alaihi wasallam dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan yatim, ayahandanya meninggal dunia ketika usia kandungan bondanya Aminah 2 bulan. Setelah baginda mencapai umur 6 tahun meninggal pula bondanya Aminah. Oleh yang demikian, usia kanak-kanak tersebut dilalui baginda sallallah ‘alaihi wasallam dengan perasaan yang terasing dan jauh dari kasih-sayang ibu-bapa. Maka telah memelihara kemudiannya datuknya Abdul Mutalib, kemudian meninggal pula datuknya sewaktu usia baginda 8 tahun. Kemudian memeliharanya pula selepas itu bapa saudaranya Abu Talib sehingga baginda membesar meningkat remaja. Mengenai keadaan yatim baginda ini pernah disebut di dalam al-Quran dalam surah ad-Dhuha ayat 6 yang bermaksud: "Bukankan Dia mendapatimu sebagai seorang yang yatim, lalu dia melindungimu”

3. Baginda Rasul sallallah ‘alaihi wasallam melalui 4 tahun pertama usia kanak-kanaknya di padang pasir bersama bani Sa’d. Di sanalah baginda mengalami pertumbuhan jasmani sehingga gagah fizikalnya, sihat tubuh badannya, fasih lisannya dan tidak gentar hatinya. Dengan demikian terserlahlah kemampuannya di sana di sebalik kesuciaan dan ketenangan padang pasir yang disinari pancaran matahari dan tiupan angin yang bersih.

4. Kemuliaan dan kecerdasan baginda dapat dikesan sejak baginda kecil lagi. Maka telah tampak pada peribadi baginda sifat-sifat yang mulia ini sehingga menimbulkan perasaan suka setiap orang yang memandangnya. Pernah diceritakan bahawa pernah suatu ketika datuknya Abdul Mutalib sedang duduk di atas sebuah hamparan yang tidak berani seorangpun dari anak-anaknya untuk duduk bersamanya. Maka apabila baginda Rasul ingin duduk lantas bapa-bapa saudaranya ingin menarik baginda lalu Abdul Mutalib berkata:"Biarkanlah anakku ini, kerana demi Allah sesungguhnya padanya ada sesuatu (keistemewaan)”.

5. Adalah baginda nabi sallallah ‘alaihi wasallam pada peringkat awal usia remajanya pernah berkerja sebagai pengembala kambing bagi penduduk Mekah dengan upah yang tertentu. Perkara ini pernah dinyatakan sendiri oleh baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak ada seorang nabi melainkan pernah mengembala kambing” lalu para sahabat bertanya “Dan engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:”Ya, da aku juga” Dalam riwayat yang lain baginda bersabda maksudnya: “Allah tidak pernah mengutus seorang nabi melainkan pernah mengembala kambing” Lalu para sahabat bertanya “Dan engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:”Ya, da aku juga”. Dan apabila usia baginda mencapai 25 tahun baginda mula menjalankan urusan perniagaan yang diamanahkan oleh Khadijah Binti Khuwailid dengan bayaran upah darinya.

6. Dalam fasa ini juga tidak pernah ditemui baginda nabi menyertai kawan-kawan yang sebayanya yang terdiri dari pemuda-pemuda Mekah dalam perkara-perkara yang melalaikan, sesungguhnya Allah telah memelihara baginda dari perkara-perkara tersebut. Sepertimana yang pernah diriwayatkan dar kebanyakan kitab sirah bahawa pernah suatu ketika baginda terdengar suara nyanyian yang dialunkan di satu pesta perkahwinan bagi seorang penduduk Mekah, lalu timbul keinginan baginda untuk menyaksikannya, lalu tiba-tina Allah mencampakkan rasa mengantuk ke baginda dan kemudiannya baginda tertidur di situ, sehingga terjaga kembali setelah dibakar panas matahari keesokan harinya. Baginda juga tidak pernah menyertai kaumnya dalam upacara penyembahan berhala, tidak pernah makan sedikitpun daging yang disembelih untuk tujuan tersebut, tidak pernah meminum arak, tidak pula pernah bermain judi, malah tidak pernah terbit dari bibir baginda perkataan-perkataan yang kotor atau kasar didengar.

Sirah Nabawiyah 005

Seluruh penduduk bumi mendapat rahmat dengan pengutusan baginda Muhammad salallah ‘alaihi wasallam sebagai seorang Rasul. Begitulah Allah membuat penentuan untuk memilih hambaNya yang bernama Muhammad lalu memelihara dan mendidiknya semenjak baginda dilahirkan, diutuskan dan sehinggalah baginda diwafatkan. Keturunan Rasulullah adalah keturunan yang mulia. Datuk nenek baginda adalah orang yang menjaga kehormatan diri. Tidak diragukan lagi bahawa kemuliaan dan kehormatan keturunan adalah merupakan syarat kenabian. Keturunan Rasulullah sallah ‘alaihi wasallam tidak pernah dicemari oleh perbuatan kotor (zina). Malah Allah menjaga kesucian keturunan baginda tersebut.

Sesungguhnya baginda nabi dilahirkan di rumah yang paling mulia dalam kebanyakan rumah-rumah orang Arab, baginda juga daripada keturunan yang mulia dalam kalangan suku bangsa Quraisy iaitu Bani Hasyim. Berkenaan ini baginda nabi sallallah ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah mencipta segala kejadian, lalu dijadikan aku daripada yang sebaik-baiknya dan daripada golongan yang terbaik pula. Kemudian Allah memilih suku bangsa, lalu dijadikan aku dari sebaik-baik suku bangsa. Kemudian Allah memilih keluarga, lalu dijadikan aku daripada sebaik-baik keluarga. Maka jadilah aku sebaik-baik diri daripada sebaik-baik keluarga daripada kalangan mereka” ( Riwayat al-Tirmizi dengan sanad yang sahih)

Menurut pendapat yang kuat sebahagian kalangan pentahqiq ahli sejarah, pada hari Isnin, 9 hb Rabiul Awwal Tahun Gajah, maka baginda dilahirkan ke dunia. Ini merupakan pendapat Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibn Hazam, Muhammad bin Musa al-Khawarizmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin al-‘Aini (Rujuk Al-Bidayah wal-Nihayah, jil 2, hal 260-261).

Pendapat ini juga turut disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Basya al-Falaki yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman baginda nabi sallallah ‘alaihi wassallam hingga ke zaman beliau.

Antara penulis sirah mutakhir yang turut menyokong pendapat ini ialah Sheikh Muhammad al-Khudori di dalam kitabnya Nurul Yaqin, Safiyyuul Rahman al-Mubarakpuri di dalam kitabnya Rahiqul Makhtum, Allamah Sibli Nu’mani di dalam kitabnya Siratun Nabi dan lain-lain lagi.

Meskipun begitu terdapat juga pendapat yang masyhur yang menyatakan bahawa tarikh kelahiran baginda ialah pada 12 Rabiul Awwal seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hisyam seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq. Selain dari rawi (Ibn Ishaq) ini yang banyak menerima sanggahan dan kritikan dari kebanyakan ulama hadis terkemuka tarikh tersebut juga tidak bertepatan dengan pengiraan falak. Kami tidaklah ingin membahaskan secara panjang lebar sehingga menimbulkan keributan di kalangan ummah namun apa yang dinyatakan ini hanyalah sebagai amanah ilmu yang perlu disampaikan. ( Mengenai rawi (Ibn Ishaq) Imam an-Nasai menyatakan bahawa dia tidak kuat, Daruqutni menyatakan bahawa hadisnya tidak boleh menjadi hujjah, Imam Abu Daud ada berkata ‘Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariag dan Muktazilah, Imam sulaiman al-Taimy, Hisyam bin Urwah, yahya bin Sa‘id al-Qahtan dan Imam Malik mengatakan bahawa dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata:’Dia seorang Dajjal’ (Mizanul I’tidal, Imam az-Zahabi, jil 3, hal. 468-475, rujuk sama Taqrib Tahzib lil Hafiz Ibn Hajar al-Atsqalani, jil 2, hal 144)