Thursday 9 April 2009

Sirah Nabawiyah 006

Beberapa kenyataan penting secara ringkas tentang kehidupan baginda sallallah ‘alaihi wasallam dalam fasa ini telah dicatatkan oleh pengarang kitab Sirah Nabawiyah Durus wa ‘Ibar adalah seperti berikut:

1. Baginda sallallah ‘alaihi wasallam dilahirkan dari keturunan nasab yang paling mulia, sepertimana yang dikuatkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi dengan sanad yang sahih dengan mafhumnya seperti berikut:

“Sesungguhnya Allah telah mencipta segala kejadian, lalu dijadikan aku daripada yang sebaik-baiknya dan daripada golongan yang terbaik pula. Kemudian Allah memilih suku bangsa, lalu dijadikan aku dari sebaik-baik suku bangsa. Kemudian Allah memilih keluarga, lalu dijadikan aku daripada sebaik-baik keluarga. Maka jadilah aku sebaik-baik diri daripada kalangan mereka” ( Riwayat al-Tirmizi)

Oleh kerana kedudukan dan nasab baginda yang mulia tersebut maka kita tidak menemui sebarang celaan dari musyrikin terhadap keturunan baginda kerana hal ini telah jelas pada mereka.

2. Baginda sallallah ‘alaihi wasallam dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan yatim, ayahandanya meninggal dunia ketika usia kandungan bondanya Aminah 2 bulan. Setelah baginda mencapai umur 6 tahun meninggal pula bondanya Aminah. Oleh yang demikian, usia kanak-kanak tersebut dilalui baginda sallallah ‘alaihi wasallam dengan perasaan yang terasing dan jauh dari kasih-sayang ibu-bapa. Maka telah memelihara kemudiannya datuknya Abdul Mutalib, kemudian meninggal pula datuknya sewaktu usia baginda 8 tahun. Kemudian memeliharanya pula selepas itu bapa saudaranya Abu Talib sehingga baginda membesar meningkat remaja. Mengenai keadaan yatim baginda ini pernah disebut di dalam al-Quran dalam surah ad-Dhuha ayat 6 yang bermaksud: "Bukankan Dia mendapatimu sebagai seorang yang yatim, lalu dia melindungimu”

3. Baginda Rasul sallallah ‘alaihi wasallam melalui 4 tahun pertama usia kanak-kanaknya di padang pasir bersama bani Sa’d. Di sanalah baginda mengalami pertumbuhan jasmani sehingga gagah fizikalnya, sihat tubuh badannya, fasih lisannya dan tidak gentar hatinya. Dengan demikian terserlahlah kemampuannya di sana di sebalik kesuciaan dan ketenangan padang pasir yang disinari pancaran matahari dan tiupan angin yang bersih.

4. Kemuliaan dan kecerdasan baginda dapat dikesan sejak baginda kecil lagi. Maka telah tampak pada peribadi baginda sifat-sifat yang mulia ini sehingga menimbulkan perasaan suka setiap orang yang memandangnya. Pernah diceritakan bahawa pernah suatu ketika datuknya Abdul Mutalib sedang duduk di atas sebuah hamparan yang tidak berani seorangpun dari anak-anaknya untuk duduk bersamanya. Maka apabila baginda Rasul ingin duduk lantas bapa-bapa saudaranya ingin menarik baginda lalu Abdul Mutalib berkata:"Biarkanlah anakku ini, kerana demi Allah sesungguhnya padanya ada sesuatu (keistemewaan)”.

5. Adalah baginda nabi sallallah ‘alaihi wasallam pada peringkat awal usia remajanya pernah berkerja sebagai pengembala kambing bagi penduduk Mekah dengan upah yang tertentu. Perkara ini pernah dinyatakan sendiri oleh baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak ada seorang nabi melainkan pernah mengembala kambing” lalu para sahabat bertanya “Dan engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:”Ya, da aku juga” Dalam riwayat yang lain baginda bersabda maksudnya: “Allah tidak pernah mengutus seorang nabi melainkan pernah mengembala kambing” Lalu para sahabat bertanya “Dan engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda menjawab:”Ya, da aku juga”. Dan apabila usia baginda mencapai 25 tahun baginda mula menjalankan urusan perniagaan yang diamanahkan oleh Khadijah Binti Khuwailid dengan bayaran upah darinya.

6. Dalam fasa ini juga tidak pernah ditemui baginda nabi menyertai kawan-kawan yang sebayanya yang terdiri dari pemuda-pemuda Mekah dalam perkara-perkara yang melalaikan, sesungguhnya Allah telah memelihara baginda dari perkara-perkara tersebut. Sepertimana yang pernah diriwayatkan dar kebanyakan kitab sirah bahawa pernah suatu ketika baginda terdengar suara nyanyian yang dialunkan di satu pesta perkahwinan bagi seorang penduduk Mekah, lalu timbul keinginan baginda untuk menyaksikannya, lalu tiba-tina Allah mencampakkan rasa mengantuk ke baginda dan kemudiannya baginda tertidur di situ, sehingga terjaga kembali setelah dibakar panas matahari keesokan harinya. Baginda juga tidak pernah menyertai kaumnya dalam upacara penyembahan berhala, tidak pernah makan sedikitpun daging yang disembelih untuk tujuan tersebut, tidak pernah meminum arak, tidak pula pernah bermain judi, malah tidak pernah terbit dari bibir baginda perkataan-perkataan yang kotor atau kasar didengar.

Sirah Nabawiyah 005

Seluruh penduduk bumi mendapat rahmat dengan pengutusan baginda Muhammad salallah ‘alaihi wasallam sebagai seorang Rasul. Begitulah Allah membuat penentuan untuk memilih hambaNya yang bernama Muhammad lalu memelihara dan mendidiknya semenjak baginda dilahirkan, diutuskan dan sehinggalah baginda diwafatkan. Keturunan Rasulullah adalah keturunan yang mulia. Datuk nenek baginda adalah orang yang menjaga kehormatan diri. Tidak diragukan lagi bahawa kemuliaan dan kehormatan keturunan adalah merupakan syarat kenabian. Keturunan Rasulullah sallah ‘alaihi wasallam tidak pernah dicemari oleh perbuatan kotor (zina). Malah Allah menjaga kesucian keturunan baginda tersebut.

Sesungguhnya baginda nabi dilahirkan di rumah yang paling mulia dalam kebanyakan rumah-rumah orang Arab, baginda juga daripada keturunan yang mulia dalam kalangan suku bangsa Quraisy iaitu Bani Hasyim. Berkenaan ini baginda nabi sallallah ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah mencipta segala kejadian, lalu dijadikan aku daripada yang sebaik-baiknya dan daripada golongan yang terbaik pula. Kemudian Allah memilih suku bangsa, lalu dijadikan aku dari sebaik-baik suku bangsa. Kemudian Allah memilih keluarga, lalu dijadikan aku daripada sebaik-baik keluarga. Maka jadilah aku sebaik-baik diri daripada sebaik-baik keluarga daripada kalangan mereka” ( Riwayat al-Tirmizi dengan sanad yang sahih)

Menurut pendapat yang kuat sebahagian kalangan pentahqiq ahli sejarah, pada hari Isnin, 9 hb Rabiul Awwal Tahun Gajah, maka baginda dilahirkan ke dunia. Ini merupakan pendapat Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibn Hazam, Muhammad bin Musa al-Khawarizmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin al-‘Aini (Rujuk Al-Bidayah wal-Nihayah, jil 2, hal 260-261).

Pendapat ini juga turut disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Basya al-Falaki yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman baginda nabi sallallah ‘alaihi wassallam hingga ke zaman beliau.

Antara penulis sirah mutakhir yang turut menyokong pendapat ini ialah Sheikh Muhammad al-Khudori di dalam kitabnya Nurul Yaqin, Safiyyuul Rahman al-Mubarakpuri di dalam kitabnya Rahiqul Makhtum, Allamah Sibli Nu’mani di dalam kitabnya Siratun Nabi dan lain-lain lagi.

Meskipun begitu terdapat juga pendapat yang masyhur yang menyatakan bahawa tarikh kelahiran baginda ialah pada 12 Rabiul Awwal seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hisyam seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq. Selain dari rawi (Ibn Ishaq) ini yang banyak menerima sanggahan dan kritikan dari kebanyakan ulama hadis terkemuka tarikh tersebut juga tidak bertepatan dengan pengiraan falak. Kami tidaklah ingin membahaskan secara panjang lebar sehingga menimbulkan keributan di kalangan ummah namun apa yang dinyatakan ini hanyalah sebagai amanah ilmu yang perlu disampaikan. ( Mengenai rawi (Ibn Ishaq) Imam an-Nasai menyatakan bahawa dia tidak kuat, Daruqutni menyatakan bahawa hadisnya tidak boleh menjadi hujjah, Imam Abu Daud ada berkata ‘Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariag dan Muktazilah, Imam sulaiman al-Taimy, Hisyam bin Urwah, yahya bin Sa‘id al-Qahtan dan Imam Malik mengatakan bahawa dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata:’Dia seorang Dajjal’ (Mizanul I’tidal, Imam az-Zahabi, jil 3, hal. 468-475, rujuk sama Taqrib Tahzib lil Hafiz Ibn Hajar al-Atsqalani, jil 2, hal 144)

Tuesday 3 February 2009

Sirah Nabawiyah 004

Karya-karya Sirah

Memahami dan mengetahui kepentingan dan keistemewaan sirah baginda nabi maka para ulama dan ahli sejarah Muslim memberi tumpuan terhadap pengkajian sirah baginda. Dengan menelaah sejarah kita mampu mengutip pelbagai pelajaran, hikmah dan pengajaran yang pernah dilalui dan ditempuh oleh mereka yang lalu. Lebih-lebih lagi mengamati sejarah seorang insan yang diutuskan sebagai Rasul untuk menjadi contoh dan ikutan buat sekalian manusia. Dan kita mendapati para ilama dan pendakwah amat terkesan dengan penghayatan terhadap sirah Sirah baginda. Sheikh Muhammad al-Khudori umpamanya dalam muqadimah kitabnya ada menyebut:

“Melalui pembacaan terhadap sirah baginda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wasallam aku merasai kepuasan yang tinggi. Hati kecilku menangisi sikap Muslimin yang tidak member perhatian kepadanya. Amat sedikit mereka yang perihatin terhadap persolan tersebut” (Sheikh Muhammad al-Khudori, Nurul Yaqin )

Pemerhatian terhadap Sirah dan keperibadian baginda ini sebenarnya telahpun dilakukan semenjak zaman sahabat, tabiin dan tabi at-Tabiin, sehingga akhirnya lahirlah beberapa karya sirah yang masyhur umpamanya seperti kitab al-Magahazi wa Siyar oleh Muhammad bin Ishaq (wafat 151H), Sirah Nabawiyah oleh Abu Muhammad Bin Abd Malik Bin Ayub Al-Humairi yang dikenal sebagi Sirah Ibn Hisyam (wafat pada tahun 213 H atau sebahagian riwayat menyatakan beliau wafat pada tahun 218 H ). Sirah Nabawiyah Ibn Hisyam ini kemudiannya diulas oleh dua ulama Islam Sepanyol yang terkenal iaitu as-Suhaily ( wafat 581H) dan al-Khoshani (wafat 604H).

Seangkatan dengan Ibn Hisyam ialah Muhammad bin Sa’d bin Mani’ al-Zuhry (wafat 230H) yang dikenali sebagai Ibn S’ad. Beliau merupakan penulis bagi gurunya, seorang ulama sirah iaitu Muhammad bin Umar al-Waqidi (wafat 207 H). Beliau Berjaya menghasilkan karya sejarah yang masyhur dikenali sebagai ‘al-Tabaqaat’ ( ‘al-Tabaqaat al-Kabir’) atau Tabaqaat Ibn Sad (juga pernah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris oleh S.Moinul Haq ). Selain itu lahir pula kemudiannya kitab ‘Tarikh al-Tabary oleh Muhammad bin Jabir al-Tabary (wafat 310 H).

Maka selepas itu semakin bercambah pengkajian dan penulisan terhadap Sirah baginda. Sebahagiannya menumpukan aspek-aspek yang khusus seperti yang dilakukan oleh al-Isfahany dalam Dalalil al-Nubuwwah, al-Tirmizy dalam Syamail Muhammadiah (wafat 279H), Ibn Qayyim al-Jauzi dalam Zadu Ma ‘ad, al-Qadi Iyadh dalam al-Syifa, dan al-Qastalany dalam al-Mawahib al-Laduniyyah (telah diberi kementar panjang oleh al-Zarqani). (Rujuk Sirah Nabawiyah Durus wa ‘Ibar oleh Dr Mustafa al-Sibaie )

Perkara ini tidak pernah terhenti pada satu zaman, malah semakin dikaji dan diteliti oleh para ulama dan dai yang mencintai peribadi dan ingin mencontohi baginda Rasul, lalu dipersembahkan pula dalam karya-karya mereka seperti Sheikh al-Khodori dengan kitab sirahnya Nurul Yaqin, Dr Mustafa Sibaie dengan kitabnya Sirah Nabawiyah Durus wa ‘Ibar, Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi dengan kitabnya Fiqh Sirah begitu juga Feqh Sirah oleh Sheikh Muhammad al-Ghazali dan selainnya.

Tuesday 20 January 2009

Sirah Nabawiyah 003

Keistemewaan Sirah Nabawiyah

Pengkajian terhadap Sirah Nabawiyah menjadi amat istemewa untuk dibandingkan dengan pengkajian sejarah yang lain-lain. Boleh dikatakan tidak ada satupun biografi kehidupan seseorang di dunia ini yang ditemui selengkap biografi Rasulullah sallallah ‘alaihi wasallam. Kita boleh menyemak sirah baginda sejak pernikahan ayabondanya Abdullah sehinggalah baginda diwafatkan. Butir-butir tentang peristiwa yang berlaku dalam hidup baginda pula dapat ditemui dengan jelas samada semenjak kelahirannya, semasa usia kanak-kanak, remaja, pemuda dan setelah diangkat menjadi Rasul. Oleh yang demikian biografi beliau merupakan sejarah lengkap seorang manusia yang dimuliakan Allah untuk membawa risalah Islam di samping baginda juga tidak terlepas dari sifat kemanuisannya. Maka sangatlah wajar apabila Allah memerintahkkan agar kita meneledani dan mencontohi baginda serta menjadikan baginda sebagai rujukan dalam kehidupan. Hal ini jelas sepertimana Firman Allah yang sering diulangi yang bermaksud:


‘ Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah sallallah ‘alaihi wasallam itu model ikutan yang baik, iaitu bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik ) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah’ (al-Ahzab 33:21)


Kehidupan baginda menyangkut segala aspek kehidupan, sehingga tidak ada satu sisipun kehidupan dari manusia terlepas dari sisi kehidupan beliau. Baginda adalah seorang suami terbaik terhadap beberapa orang isteri, seorang ayah terbaik terhadap beberapa orang anak, seorang datuk terbaik terhadap beberapa orang cucu, seorang mertua terbaik terhadap beberapa orang menantu, seorang menantu terbaik terhadap beberapa orang mertua, seorang pemimpin yang adil, seorang panglima yang cerdas dan bijaksana, seorang politikus yang ulung, dan seorang yang paling berjaya dalam menngatur urusan dakwahnya. Dan kesemuanya itu dilandasi dengan keagungan akhlak dan budi pekerti baginda yang mulia. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
(QS. Al Qalam : 4)


Keindahan akhlak, budi pekerti dan setiap tindakan baginda pula berlandaskan al-Quran sepertimana yang disimpulkan oleh Aisyah r.a dalam sebuah hadis yang bermaksud:


“Adalah akhlaknya (akhlak baginda nabi ) ialah al-Quran”


Al Imam Asy-Syafi’i kuga pernah menyebut tentang peribadi baginda Nabi:


“Apa yang baginda lakukan adalah apa yag baginda fahami dari al Qur’an.”


Oleh karena itu, memahami biografi beliau merupakan bahagian yang tidak terpisah dari memahami Islam itu sendiri, karena baginda adalah saksi yang nyata, saksi hidup dari buah Iman dan keyakinan yang mantap terhadap Dinul Islam, yang terjelma menerusi peribadi kepemimpinan teladan yang agung, juga tercermin dalam kehidupan generasi pertama yang tumbuh hidup ditangan didikan beliau sendiri. (Rujuk As-Sirah An-Nabawiyah, Ibnu Hisyam, Fiqhus-Sirah An-Nabawiyah, Munir Muhammad Ghadban, Ummul Quro University, cet. I, th 1989, Fiqhus-Sirah, Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthy, Darul Fikr, cet. 2 th. 1980, As-Sirah An-Nabawiyah (durus wa’ibar). Dr. Musthafa As-Siba’i, Al-Maktab Al-Islami, cet. 7, th. 1984, Syu’aun min As-Sirah An-Nabawiyah, Dr. Rajih Abd. Hamid Al-Kurdy, Darul Furqan, cet. I, th. 1985)

Tuesday 13 January 2009

Sirah Nabawiyah 002

Tujuan Pengkajian Sirah Nabawiyah

Sudah kita nyatakan di awal mukadimah yang lalu bahawa tujuan pengkajian Fiqh Sirah itu bukan hanya untuk menyajikan kisah-kisah yang telah berlaku sebagai rakaman sejarah semata-mata. Malah untuk melihat lebih jauh dari itu berupakan pelajaran-pelajaran dan iktibar atau pengajaran-pengajaran yang mampu diambil dari Sirah itu sendiri. Perkara ini pernah disinggung oleh Dr Muhammad Sa ‘id Ramadhan al-Buthi dalam kitabnya Fiqh al-Sirah bahawa:

‘Tujuan mengkaji riwayat hidup Rasulullah sallallah ‘alaihi wasallam dan menganalisanya bukan untuk melihat kejadian-kejadian, episod-epiosd bersejarah dan memaparkan cerita indah semata-mata. Oleh yang demikian kita tidak seharusnya menganggap membaca kajian sejarah hidup baginda Rasul adalah sama seperti membaca dan menelaah kajian sejarah para pemerintah zaman dahulu kala. Tujuan asas dari kajian yang dimaksudkan adalah supaya setiap Muslim dapat memahami dan menggambarkan bahawa hakikat Islam ( zahir dan batin ) itu semuanya teradun di dalam kehidupan Rasulullah sallallah ‘alaihi wasallam itu sendiri’ ( Muhammad Sa ‘id Ramadhan al-Buthi, Fiqh al-Sirah. Lihat juga Tejemahan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ust Mohd Darus Sanawi ‘Ali, Cetakan ke-2, Jil 1, Shah Alam, Dewan Pustaka Fajar , 1984, Hal 17, 18 dan 19 )

Oleh yang demikian beliau telah menyenaraikan 5 tujuan pengkajian Sirah Nabawiyah yang boleh diringkasakan adalah seperti berikut:

1. Memahami peribadi bagida Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wasallam menerusi kehidupan dan suasana persekitaran hidup baginda. Ini adalah untuk membuktikan dan menentukan bahawa Muhammad sallallah ‘alaihi wasallam bukanlah manusia biasa yang dilahirkan di kalangan bijak pandai (cendiakawan atau ahli falsafah)tetapi ia adalah seorang Rasul, utusan dan pesuruh Allah yang menerima wahyu dan taufiq dariNya.

2. Supaya seluruh manusia dapat meniru, mencontohi dan mengikut satu contoh peribadi yang unggul dalam segenap aspek dan lapangan kehidupan. Sekiranya manusia ingin mencari satu contoh terbaik bersifat universal maka mereka akan dapat menemuinya di dalam kehidupan Rasulullah sallallah ‘alaihi wasallam. Perkara ini mendapat sokongan dari al-Quran menerusi firman Allah Taala dalm surah al-Ahzab yang bermaksud:

‘ Sesungguhnya,bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah’ (Al-Ahzab 33:21)

3. Kajian tentang sirah baginda juga mampu membantu manusia memahami dan mengecapi isi kandungan al-Quran. Ini kerana banyak ayat-ayat al-Quran yang dihurai dan ditafsir melalui kejadian dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah hidup baginda Nabi sallallah ‘alaaihi wasallam.

4. Kajian terhadap Sirah Nabawiyah juga mampu menambahkan lagi perbendeharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar untuk setiap Muslim merangkumi Aqidah dan Hukum-hakam.

5. Akhirnya kajian terhadap Sirah Nabawiyah ini membolehkan para pendidik dan pendakwah mencontohi dan mengajar mengikut sistem pendidikan dan pengajaran Rasul. Ini kerana baginda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wasallam sendiri adalah seorang pendidik, penasihat, guru terbaik yang sentiasa mencari jalan-jalan yang terbaik untuk menyampaikan mesej dakwah sepanjang kehidupannya.

Monday 12 January 2009

Sirah Nabawiyah 001

Makna Fiqh

Perkataan Fiqh berasal dari kalimah Arab yang dari sudut bahasanya bermaksud faham dan mengetahui akan sesuatu. Penggunaan perkataan Fiqh dengan maksud memahami dan mengetahui juga telah digunakan dalam al-Quran sebagai contohnya di dalam surah an-Nisa’ ayat 78 yang bermaksud:

“Maka mengapa kaum itu hampir-hampir tidak memahami (la yafqahun ) perkataan (nasihat dan pengajaran) sedikitpun” ( Surah an-Nisa’ ayat 78 )

Di dalam ayat tersebut al-Quran telah menggunakan perkataan ‘la yafqahun’ untuk memberi maksud mereka ‘tidak memahami’.

Walaubagaimanapun dalam Ilmu Syariah secara khususnya perkataan Fiqh adalah lebih merujuk kepada satu Ilmu pengetahuan yang dengannya dapat diketahui hukum-hukum syara’ berkaitan dengan perbuatan mukallaf bersandarkan dalil-dalil yang terperinci. Maka darinya lahirlahlah pecahan-pecahan yang lain secara umumnya terdiri dari Fiqh Ibadat, Feqh Muamalat, Fiqh Munkahat & Kekeluargaan dan Feqh Janayat.

Namun penggunaan perkataan ‘Fiqh’ dalam perbincangan ‘Fiqh al-Sirah’ adalah merujuk kepada maksud asal Feqh itu sendiri pada sudut bahasa iaitu ‘memahami dan mengetahui akan sesuatu’. Maka Fiqh al-Sirah adalah satu ilmu untuk memahami intipati Sirah itu sendiri. Dengan itu perbincangan Fiqh al-Sirah bukan hanya menyajikan kisah-kisah yang telah berlaku sebagai rakaman sejarah semata-mata. Malah untuk melihat lebih jauh dari itu berupakan pelajaran-pelajaran dan iktibar atau pengajaran-pengajaran yang mampu diambil dari Sirah itu sendiri.

Makna Sirah

Ibn Manzur dalam ‘Lisanul Arab’ menyatakan bahawa perkataan al-Sirah menurut bahasa Arab bererti kebiasaan, jalan, cara atau tingkahlaku. Manakala menurut istilah secara umum memberi maksud perincian hidup atau sejarah hidup seseorang. Dan apabila menyebut perkataan Sirah itu sendiri hampir menjadi kesepakatan bahawa apa yang dimaksudkan ialah Sirah Nabawiyah itu sendiri iaitu sejarah dan perjalanan hidup baginda Nabi sallallah ‘alaihi wasallam. Maka dengan itu secara amnya ‘Fiqh al-Sirah’ adalah satu ilmu yang mampu difahami dengannya pelajaran dan iktibar dari sejarah perjalanan kehidupan baginda Nabi sallallah ‘alahi wasallam sejak baginda dilahirkan sehinggalah baginda diwafatkan.